Thursday, June 21, 2007

Felda cadang tubuh universiti sendiri

KUALA LUMPUR 20 Jun 2007, Utusan Malaysia — Felda bercadang untuk menubuhkan sebuah universiti sendiri bagi menjamin peluang pendidikan tinggi kepada anak-anak peneroka Felda di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Abdul Raman Suliman.
.
Beliau berkata, cadangan penubuhan universiti itu kini dalam peringkat rundingan.
“Sekiranya semua berjalan baik, Felda sememangnya berhasrat untuk menubuhkan sebuah Universiti Felda selaras dengan perkara ketiga dalam misi Felda iaitu keluarga peneroka mempunyai tahap pendidikan yang sesuai,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) yang ingin tahu adakah Felda bercadang menubuhkan universiti sendiri memandangkan agensi itu mempunyai lebih dua juta hektar tanah dan membelanjakan lebih RM100 juta untuk program menghantar anak-anak peneroka ke institusi pengajian tinggi.
Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Raja Ahmad Zainuddin tentang keberkesanan Skim Tuisyen Felda (STF) Abdul Raman berkata, skim tuisyen yang diperkenalkan sejak 2004 berjaya membantu meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan anak-anak peneroka.
Buktinya seramai 72,062 anak peneroka Felda berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam pada tahun lepas, katanya.
.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 46,873 orang berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma, 24,269 di peringkat ijazah pertama dan 920 di peringkat ijazah lanjutan,” katanya.
Abdul Raman berkata, Felda akan mengkaji dan meneliti STF dari semasa ke semasa terutama daripada segi pencapaian dan keberkesanannya dan bercadang untuk mengambil guru-guru berkemahiran dan berpengetahuan luas bagi melaksanakan skim tuisyen itu.-Bernama

Sunday, June 3, 2007

Skim Felda bukti kejayaan Malaysia

.
Berita Harian (5 Mei 2007).
.
SKIM Felda yang diperkenalkan di negara ini sejak 51 tahun lalu, bukan saja menjadi projek pembangunan tanah paling berjaya di negara ini, malah di dunia, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
.
Beliau berkata, sehingga kini, skim itu sudah berjaya membangunkan kawasan seluas kira-kira 811,140 hektar tanah hutan, termasuk 18.4 peratus bagi penanaman kelapa sawit dan getah di seluruh negara.
.
“Kawasan kelapa sawit yang sudah dibangunkan setakat ini kira-kira 702,000 hektar, manakala 102,000 hektar lagi bagi getah iaitu mewakili masing-masing 18 dan sembilan peratus hasil keseluruhan pengeluaran negara bagi kedua-dua tanaman berkenaan.
.
“Secara keseluruhannya, Felda juga membekalkan kira-kira lapan peratus hasil pengeluaran minyak sawit dunia,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada forum bertajuk Merapatkan Jurang Kemiskinan – Bagaimana Kerajaan dan Sektor Swasta Boleh Bekerjasama Dalam Pembangunan sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia.
.
Yusof berkata, sejak skim itu diwujudkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1956, Felda berjaya menempatkan 112,635 peneroka di 317 kawasan penempatan.
.
Katanya, walaupun proses pengambilan peneroka baru sudah dihentikan sejak 1990, bilangan komuniti di situ dijangka terus meningkat melalui generasi kedua dan ketiga peneroka terbabit.“Adalah dianggarkan bilangan penduduk menghuni kawasan skim itu sehingga kini dianggarkan sudah mencapai hampir dua juta orang dan kita jangka bilangan itu akan terus meningkat,” katanya.
.
Yusof berkata, dalam usaha mengukuhkan agensi kerajaan itu sekali gus memastikannya mampu menghadapi cabaran global, pelbagai pendekatan komprehensif sudah dan akan dilaksanakan.