Sunday, September 2, 2007

Hadiah RM1j untuk Rancangan Felda terbaik

Sumber; Utusan, 2 September 2007.
CHINI 2 Sept — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan berita gembira kepada warga peneroka bersempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara apabila memperkenalkan pertandingan Rancangan Terbaik Felda yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pertandingan tahunan itu yang akan bermula tahun ini adalah merupakan program keceriaan rancangan bagi menjadikan komuniti Felda sebagai contoh masyarakat luar bandar.
“Hadiah ini merupakan satu insentif di atas usaha, semangat, kerjasama dan komitmen bagi menjayakan program keceriaan kawasan kampung,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Keceriaan Kampung Felda di Felda Chini Timur 3, di sini.

Najib berkata, setiap peneroka di kawasan rancangan yang memenangi pertandingan itu akan menerima wang tunai sebanyak RM1,000 manakala baki hadiah wang tunai itu akan digunakan untuk sebarang projek yang akan ditentukan oleh pihak rancangan Felda itu sendiri.

“Satu kaedah penilaian dan kriteria pemilihan akan diadakan bagi menentukan pemenang. Kita akan lantik satu panel bebas yang terdiri daripada golongan profesional bagi membuat penilaian yang telus,” kata Najib.
Pertandingan itu akan bermula bulan ini dengan membabitkan 317 rancangan Felda dan pemenang akan diumumkan sempena sambutan Hari Peneroka Negara pada 7 Julai setiap tahun.

Najib menjelaskan, rancangan Felda yang memenangi hadiah berkenaan akan dikecualikan bertanding selama tiga tahun.

Katanya, kerajaan berharap pertandingan itu mampu merealisasikan program Keceriaan Kampung Felda bagi menjadikan rancangan Felda kawasan yang ceria, bersih, selesa, indah dan mempunyai landskap yang menarik serta lengkap dengan prasarana.

Ketika berucap pada majlis itu Najib berkata, Felda akan memperkenalkan program pinjaman sebanyak RM40,000 kepada peneroka untuk mengubahsuai rumah asal mereka.

Selain itu katanya, geran sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada peneroka yang uzur, sakit tenat atau cacat untuk mengubahsuai rumah asal masing-masing.

Mengenai kes kematian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem Cheneh Cemerlang, Kemaman, malam tadi, Najib memberi jaminan akan mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang kecuaian pihak pengurusan kem tersebut.

“Saya akan dapatkan laporan, apa sebab perkara ini berlaku, terlalu awal bagi kita untuk buat kesimpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan kakak mangsa Jubaidah Ameer, 25, yang mendakwa adiknya Mohd Rafi, 18, demam hampir seminggu dan kakinya bengkak akibat terjatuh semasa latihan.

Mangsa, dari Bukit Rotan, Kuala Selangor, dipercayai meninggal dunia pada pukul 10.30 malam tadi ketika dalam perjalanan dari Hospital Kemaman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. -Bernama