Tuesday, January 22, 2008

Felda perlu ubah minda jana kekayaan global

KUALA LUMPUR 22 Jan. –
Kakitangan Felda perlu mengubah minda supaya lebih agresif untuk menyusun strategi menerokai kekayaan di peringkat global, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu mengubah sikap daripada hanya meletakkan Felda sebagai satu organisasi yang sederhana kepada organisasi yang mampu menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa.

“Kalau lebih 50 tahun dahulu Felda memberi kehidupan kepada masyarakat dengan membuka tanah tetapi kini Felda yang semakin moden, perlu berusaha untuk menjana kejayaan dan kekayaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis pecah tanah Platinum Park, tapak Menara Felda, di sini hari ini.
Sumber;

354 peneroka menang saman RM7.8j terhadap Felda

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

KOTA BHARU 13 Jan. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Felda dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd. membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah dekat sini, kerana menipu urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar ganti rugi am sebanyak RM7.1 juta dan ganti rugi teladan sebanyak 10 peratus daripada jumlah itu iaitu RM710,000 serta kos, berkuat kuasa serta merta.

“Mahkamah mendapati berdasarkan kepada keterangan-keterangan dalam perbicaraan, memang wujud bukti konspirasi antara pengurus Felda dan kilang berkenaan untuk menipu gred harga kelapa sawit.

“Mahkamah juga berpuas hati bahawa kadar gred harga kelapa sawit yang diberikan oleh pihak berkenaan kepada peneroka adalah tidak munasabah.

“Dengan ini, mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak membayar ganti rugi terhadap plaintif iaitu 354 peneroka berkenaan,” katanya dalam penghakiman lisan selama kira-kira 10 minit.

Kesemua peneroka itu diwakili oleh peguam-peguam Wan Rohimi Wan Daud, Asmadi Abu Bakar, Yusfarizal Yusof dan Muhd. Azmi Talib.

Pihak defendan pula diwakili oleh firma guaman Tetuan Wong Lu Peen dan Tunku Alina, bagaimanapun mereka tidak hadir dalam prosiding hari ini yang sepatutnya ditetapkan untuk menyambung perbicaraan.

Mahkamah meneruskan perbicaraan dengan pihak plaintif memanggil tiga saksi untuk memberi keterangan sebelum penggulungan hujah dibuat dan keputusan diberikan oleh Hakim Azman.

Tuntutan saman itu difailkan oleh kesemua peneroka itu pada 22 September 2002 dengan menamakan Felda sebagai defendan pertama, Pengurus Rancangan Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Ibrahim Ismail (defendan kedua) dan Felda Palm Industries Sdn. Bhd. (defendan ketiga).

Peneroka-peneroka itu antara lain mendakwa berlaku penipuan dalam urusan jual beli hasil atau buah sawit yang dijual oleh defendan kedua atau defendan pertama kepada defendan ketiga bagi pihak plaintif.

Keadaan itu disedari apabila seorang daripada plaintif telah menemui salinan asal ‘Akuan Penerimaan BTS (berat timbang sawit) yang dikeluarkan oleh defendan ketiga yang mengandungi cop penjual mengakui hantaran mutu BTS di bawah KPG (Kadar Perahan Gred) 18 peratus.

Mengikut salinan asal surat akuan itu, ‘penjualan BTS itu di atas dasar kehendak penjual dan penjual bersetuju KPG yang dibayar’.

Plaintif dalam writ samannya menegaskan bahawa mereka tidak pernah bersetuju dan tiada pengetahuan langsung tentang persetujuan penjualan di bawah KPG 18 peratus seperti yang didakwa.

Plaintif juga menegaskan, bahawa mutu KPG di bawah 18 peratus bagi buah-buah sawit yang diusahakan mereka adalah salah, tidak tepat dan bercanggah dengan mutu perahan sawit yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Sumber;