Sunday, April 6, 2008

Felda bina 200 unit rumah generasi kedua

BANDAR JENGKA 28 Mac - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membina 200 unit rumah bagi generasi kedua di Felda Melati Jengka 11 dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, Felda memperuntukkan lebih RM8 juta bagi tujuan itu.

Katanya, kerja-kerja pembinaan projek perumahan itu akan dilaksanakan segera sebaik sahaja pelbagai urusan berhubung tapak diselesaikan.

''Rumah berharga antara RM35,000 hingga RM50,000 seunit itu bagi memenuhi permintaan generasi kedua dan ketiga yang memerlukan rumah kediaman yang selesa.

''Majoriti generasi kedua Felda telah berumahtangga memerlukan rumah kekal bagi meneruskan kehidupan mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Salman menambah, kesediaan kerajaan membina lebih banyak rumah di tanah- tanah rancangan sejajar dengan tuntutan generasi kedua Felda.

Katanya, kerajaan mempunyai perancangan sendiri dalam tempoh jangka pendek dan panjang untuk menjamin keselesaan anak peneroka meneruskan kehidupan di rancangan Felda.

Beliau menambah, keputusan membina lebih banyak rumah kediaman di rancangan Felda sekali gus dapat menghalang tenaga muda keluar dari tanah rancangan Felda.

''Jika ramai generasi muda berhijrah atas faktor tiada tempat kediaman, akan memberi kesan terhadap produktiviti tanah rancangan,'' katanya.

Wan Salman mengakui antara isu yang dibangkitkan oleh pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu ialah mengeksploitasi masalah rumah kepada generasi muda Felda.

Sehingga ini, katanya, lebih 2,000 permohonan diterima daripada generasi kedua Felda Jengka untuk mendapatkan rumah.

''Sambutan hebat generasi muda Felda itu membuktikan golongan itu amat memerlukan rumah kediaman sendiri tanpa terlalu bergantung kepada ibu bapa masing-masing,'' katanya.

Sementara itu, ADUN Kemayan, Mohd. Fadil Osman berkata, kerja-kerja membersih tapak di Felda Triang untuk projek 300 unit rumah akan dijalankan tidak lama lagi.

''Felda menyediakan peruntukan lebih RM10 juta bagi projek tersebut yang akan memberi kemudahan kepada 300 generasi muda wilayah Bera," jelasnya.

Beliau berkata, keupayaan Felda membina rumah tersebut membuktikan kerajaan peka terhadap masalah perumahan yang dihadapi generasi muda Felda itu.