Friday, October 19, 2007

PENGURUS FELDA BUKIT APING BARAT BEROTAK KERBAU.

BARU-BARU INI, PENGURUS FELDA BUKIT APING BARAT TELAH MENGGUNAKAN AYAT YANG KASAR, SOMBONG, ANGKUH DAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN TERHADAP SEORANG IBU TUNGGAL DI FELDA BUKIT APING BARAT.

ALASAN YANG TIDAK MUNASABAH TELAH DIBERIKAN TERHADAP IBU TUNGGAL INI.

Sunday, September 2, 2007

Hadiah RM1j untuk Rancangan Felda terbaik

Sumber; Utusan, 2 September 2007.
CHINI 2 Sept — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan berita gembira kepada warga peneroka bersempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara apabila memperkenalkan pertandingan Rancangan Terbaik Felda yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pertandingan tahunan itu yang akan bermula tahun ini adalah merupakan program keceriaan rancangan bagi menjadikan komuniti Felda sebagai contoh masyarakat luar bandar.
“Hadiah ini merupakan satu insentif di atas usaha, semangat, kerjasama dan komitmen bagi menjayakan program keceriaan kawasan kampung,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Keceriaan Kampung Felda di Felda Chini Timur 3, di sini.

Najib berkata, setiap peneroka di kawasan rancangan yang memenangi pertandingan itu akan menerima wang tunai sebanyak RM1,000 manakala baki hadiah wang tunai itu akan digunakan untuk sebarang projek yang akan ditentukan oleh pihak rancangan Felda itu sendiri.

“Satu kaedah penilaian dan kriteria pemilihan akan diadakan bagi menentukan pemenang. Kita akan lantik satu panel bebas yang terdiri daripada golongan profesional bagi membuat penilaian yang telus,” kata Najib.
Pertandingan itu akan bermula bulan ini dengan membabitkan 317 rancangan Felda dan pemenang akan diumumkan sempena sambutan Hari Peneroka Negara pada 7 Julai setiap tahun.

Najib menjelaskan, rancangan Felda yang memenangi hadiah berkenaan akan dikecualikan bertanding selama tiga tahun.

Katanya, kerajaan berharap pertandingan itu mampu merealisasikan program Keceriaan Kampung Felda bagi menjadikan rancangan Felda kawasan yang ceria, bersih, selesa, indah dan mempunyai landskap yang menarik serta lengkap dengan prasarana.

Ketika berucap pada majlis itu Najib berkata, Felda akan memperkenalkan program pinjaman sebanyak RM40,000 kepada peneroka untuk mengubahsuai rumah asal mereka.

Selain itu katanya, geran sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada peneroka yang uzur, sakit tenat atau cacat untuk mengubahsuai rumah asal masing-masing.

Mengenai kes kematian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem Cheneh Cemerlang, Kemaman, malam tadi, Najib memberi jaminan akan mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang kecuaian pihak pengurusan kem tersebut.

“Saya akan dapatkan laporan, apa sebab perkara ini berlaku, terlalu awal bagi kita untuk buat kesimpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan kakak mangsa Jubaidah Ameer, 25, yang mendakwa adiknya Mohd Rafi, 18, demam hampir seminggu dan kakinya bengkak akibat terjatuh semasa latihan.

Mangsa, dari Bukit Rotan, Kuala Selangor, dipercayai meninggal dunia pada pukul 10.30 malam tadi ketika dalam perjalanan dari Hospital Kemaman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. -Bernama

Tuesday, August 28, 2007

Felda sedia perjelas wang BTS Aping Timur.

Sumber; Berita Harian, 27 Ogos 2007.
Agensi guna peruntukan diberikan Risda bagi kerja tanam semula sawit dan ia dilakukan mengikut prosedur, proses yang dipersetujui kerajaan.
KOTA TINGGI: Peneroka Felda Bukit Aping Timur yang keliru dengan status wang Bantuan Tanam Semula (BTS) getah kepada tanaman kelapa sawit diminta mengunjungi pejabat Felda bagi mendapatkan penjelasan secara terus daripada agensi berkenaan.

Beliau berkata, wang BTS yang dipohon peneroka kepada Risda itu digunakan Felda untuk kerja tanam semula sawit dan ia dilakukan mengikut prosedur dan proses yang dipersetujui kerajaan.
"Perkara itu sudah kami jelaskan kepada peneroka melalui Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan ketua blok.
"Mungkin ada sebahagian kecil peneroka yang tidak faham dengan prosedur itu atau mereka tidak terima maklumat berhubung perkara itu, membuatkan mereka tidak puas hati," katanya.
Abu Bakar berkata, surat daripada Risda itu hanya satu proses pemberitahuan kepada peneroka, dan wang itu sebenarnya adalah untuk tanam semula getah kepada kelapa sawit dengan peneroka tidak akan menerima wang itu kerana ia sudah dipindahkan kepada Felda.
Beliau berkata, Felda tidak khuatir terhadap rasa tidak puas hati peneroka kerana semua proses antara jabatan itu adalah mengikut pekeliling kerajaan."Mana-mana peneroka yang kurang faham dialu-alukan supaya datang terus ke pejabat," katanya.
Peneroka, Saberan Basseri, 58, berkata selepas ladang getah mereka ditebang pada 2002, semua peneroka bersetuju menukar kepada tanaman sawit pada 2004 dan sudah mengeluarkan hasil sekarang.Beliau berkata, pada Jun 2006, semua peneroka kemudian diminta mengemukakan permohonan kepada Risda untuk kerja tanam semula itu.
"Merujuk surat bertarikh 16 Disember 2006 yang dikeluarkan Risda, semua peneroka diberitahu akan menerima wang Bayaran BTS Getah ke Tanaman Lain sebanyak antara RM9,000 dan RM12,000 mengikut keluasan tanah. "Kami hanya mahu tahu wang yang dikeluarkan Risda itu disalurkan ke mana.
Bagi tanah saya yang seluas 4.05 hektar, bayaran yang tercatat adalah sebanyak RM10,137.50. Saya ingin mengetahui sama ada wang itu akan kami perolehi atau Felda akan bayar untuk urusan lain," katanya.
Peneroka, Talib Bagong, 68, yang turut keliru dengan pernyataan dalam surat itu dan tindakan yang dilakukan Felda terhadap wang berkenaan mendakwa pernah merujuk kepada pejabat Felda Aping Timur sebelum diarahkan membuka akuan bank.
"Kami tidak faham mengapa kami diminta memohon bantuan kepada Risda dan selepas bantuan dikeluarkan, wang itu tidak pula kami terima," katanya yang mahu penjelasan sewajarnya daripada pihak Felda.

Wednesday, August 22, 2007

Peneroka Felda Lembah Klau saman kerajaan


Sumber; Utusan Malaysia, 21 / 08 / 2007

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Sebanyak 474 peneroka Felda di Lembah Klau, Raub, Pahang (LKRP) telah menyaman kerajaan Malaysia untuk menuntut ganti rugi berhubung pengambilan tanah mereka bagi cadangan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor.


Saman pemula tersebut dikemukakan kerana mereka tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang bakal diperoleh hasil pengambilan tanah bagi pembinaan Empangan Kelau di bawah projek itu.


Pengerusi Jawatankuasa Perundingan dan Bertindak Projek Empangan Kelau (JPBPEK), Datuk Abdullah Abu Bakar selaku plaintif yang mewakili kesemua peneroka Felda terbabit, turut menamakan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi sebagai defendan.


Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Uma & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Ogos lalu.


Hari ini, hampir 100 peneroka terbabit hadir di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini sebelum saman yang dimeterai diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.


Dalam saman pemula itu, plaintif menuntut perisytiharan supaya defendan membuktikan dan mendedahkan tanah yang diberi milik, harga dinilai dan syarat-syarat berkaitan memandangkan ia adalah projek usahasama antara kerajaan dan swasta.


Defendan juga dituntut membuktikan dan mendedahkan kajian Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang dibuat di penempatan itu dan bertanggungjawab menjalankan satu penilaian penuh serta lengkap berkenaan dengan kos projek tersebut.


Selain itu, defendan bertanggungjawab menyediakan laporan parlimen berkenaan projek tersebut sebelum dilaksanakan memandangkan ia membabitkan penempatan Felda berkenaan.
Plaintif menuntut perisytiharan supaya gantirugi ditaksirkan pada RM7 sekaki persegi kepada kesemua tanah milik peneroka seluas kira-kira 1,934 hektar.



Melalui afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Abdullah, 45, beliau mendakwa, LKRP itu dibangunkan oleh penduduk dari seluruh negara atas undangan kerajaan pada tahun 1963/64.
Dakwa beliau, peneroka-peneroka terbabit pada awalnya membangunkan kawasan itu dengan penanaman getah sebelum diganti dengan peladangan kelapa sawit.



Bagaimanapun, katanya, kedudukan LKRP digugat oleh projek itu dengan Empangan Kelau akan dibina sebagai empangan kawalan untuk menahan dan menakung air.


Pada tahun 1999, dakwa Abdullah, pihak plaintif telah memohon pampasan istimewa diberikan sebagai gantirugi tetapi tiada maklum balas diterima meskipun projek itu akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan.


“Setiap peneroka yang mempunyai antara lapan hingga 10 ekar tanah menuntut RM3.45 sekaki persegi sebagai gantirugi khas dan RM3.55 sekaki persegi sebagai gantirugi am,” katanya.


Dalam hal ini, menurutnya, ketiadaan peruntukan tidak boleh dijadikan alasan kerana kerajaan telah mendapat kelulusan pinjaman berjumlah 82.04 bilion Yen dari Japan Bank For International Coorperation (JBIC) pada tahun 2003.


Oleh itu, beliau memohon supaya projek itu ditangguhkan sehingga jumlah gantirugi diputuskan oleh mahkamah dan dibayar kepada mereka.


Sementara itu, Kamis Saad, 67, berkata, tindakan saman tersebut diambil kerana mereka tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan RM30,000 bagi satu ekar yang ingin diberikan oleh kerajaan.


“Kami lakukan ini untuk mendapatkan keadilan,” katanya yang meneroka dan menetap di penempatan Felda itu sejak 42 tahun lalu.


Rakannya, Mohamad Musa, 46, memberitahu, jumlah pampasan yang diberikan adalah tidak setimpal dengan kerja-kerja yang telah dilakukan sebelum ini.


Hamzah Ismail, 62, pula menyatakan, mereka berada dalam keadaan tidak menentu kerana tiada wakil kerajaan yang datang untuk berbincang dengan mereka kecuali wakil daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Friday, July 13, 2007

Selesaikan masalah peneroka, sebelum bina lanskap RM1.68 juta - Mazlan

Salman Hussin Tue Jul 10, 07 09:23:52 AM

KULAI, 10 Julai (Hrkh) – Kerajaan perlu memberi keutamaan bagi menyelesaikan berbagai masalah membabitkan peneroka dan pengurusan Felda yang masih berbangkit sehingga hari ini sebelum sesuatu rancangan baru dirancang dan dilaksanakan.
“Apa pun rancangan yang bakal dilaksanakan nanti tidak mungkin akan berjaya mencapai matlamat yang diharapkan sekiranya isu-isu yang berbangkit ini tidak diselesaikan terlebih dahulu," kata Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Petani, Peneroka, Nelayan dan Penternak PAS Pusat, Mazlan Aliman, di sini.

Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini, berhubung cadangan Felda untuk mengindahkan lanskap di 317 felda di negara ini dengan kos RM1.68 juta.

Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet bagi hal ehwal Felda mengumumkan perkara ini di hadapan 5,000 pemimpin dan masyarakat Felda seluruh negara pada Konvensyen Jubli Emas Hari Peneroka 2007 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Mazlan, sehingga hari ini masih terdapat berbagai-bagai masalah yang terus membelenggu golongan peneroka Felda di negara ini, masalah-masalah yang berbangkit ini sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang rancangan baru dijalankan.

“Kita mengalu-alukan sebarang usaha kerajaan untuk memajukan peneroka dan juga tanah-tanah rancangan Felda di negara ini tetapi pada masa yang sama kita juga tidak mahu Felda mengabaikan persoalan pokok selepas 50 tahun Felda diwujudkan.

“Sehingga hari ini golongan peneroka masih tertanya-tanya bagaimana pengagihan kekayaan Felda dilakukan, ini kerana walau pun setelah 50 tahun Felda wujud dan kekayaan dimiliki Felda difahamkan mencapai RM50 bilion, namun taraf hidup sebahagian besar peneroka masih tidak jauh berubah bahkan ada kalangan mereka yang terpaksa bekerja di luar untuk menambah pendapatan,"jelasnya.

Felda juga menurut Mazlan, sehingga kini masih gagal menyediakan penempatan bagi generasi kedua Felda selain kegagalan membendung masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan di tanah-tanah rancangan Felda.

“Kalau di peringkat awal penubuhan Felda dulu jawatan Penyelia Agama diwujudkan di setiap Felda bertujuan memberi bimbingan dalam soal-soal keagamaan di tanah-tanah rancangan ini tetapi sekarang jawatan penyelia agama ini telah dimansuhkan, jawatan ini diambilalih oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR).

“Kesan daripada pemansuhan jawatan penyelia agama ini sedikit sebanyak telah menyumbang berlakunya gejala keruntuhan akhlak yang semakin parah di tanah-tanah rancangan Felda di negara kita hari ini," jelasnya lagi.
Selain itu kaedah bayaran balik hutang peneroka perlu dikaji semula kerana banyak perkara yang menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puashati peneroka disebabkan kaedah yang digunapakai tidak begitu jelas, katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

“Peneroka tiada hak untuk mengetahui bagaimana kaedah yang digunapakai untuk mengira jumlah hutang mereka sebaliknya peneroka dipaksa membayar jumlah tertentu yang telah ditetapkan Felda walaupun jumlahnya dianggap tidak munasabah,"sambungnya.

Katanya lagi, “Program tanam semula kelapa sawit dan getah juga menimbulkan rasa tidak puashati peneroka apabila mereka dipaksa menjalankan proses tanam semula ini di bawah pengurusan Felda, mereka tidak dibenarkan melakukan tanam semula secara persendirian.

“Peraturan ini hanya akan menyebabkan peneroka terus berhutang dengan felda untuk satu jangka masa yang panjang sedangkan mereka mampu melakukan sendiri dan kosnya juga jauh lebih rendah berbanding pengurusan tanam semula yang dilakukan di bawah Felda."

Katanya, “Isu-isu membabitkan Felda seperti yang berlaku di Felda Cahaya Baru Masai, walaupun sudah lebih 15 tahun berlalu tetapi masalah mereka masih belum selesai sehingga hari ini, isu seumpama ini sepatutnya menjadi keutamaan untuk diselesaikan terlebih dahulu kerana ianya membabitkan kepentingan ratusan peneroka Felda."

Selain itu, isu pembahagian keluasan tanah Felda kepada setiap peneroka juga masih tidak selesai lagi, peneroka yang sepatutnya mendapat 10 ekar seperti perjanjian awal dengan Felda bagaimanapun hanya mendapat tujuh atau lapan ekar sahaja dan baki tanah mereka diberi secara berkelompok, isu ini juga perlu diselesaikan segera.
Segala isu yang masih berbangkit ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum Felda bercadang untuk membelanjakan wang RM1.68 juta milik seluruh peneroka Felda bagi tujuan mengindah serta mengubah lanskap tanah-tanah felda di seluruh negara.

“Bagi kita apa yang paling penting perlu dilakukan Felda bukan hanya merancang untuk mencantik dan mengindahkan lanskap Felda untuk jangkamasa 50 tahun akan datang, tetapi apa yang lebih penting lagi, Felda perlu memikirkan bagaimana nasib peneroka-peneroka Felda ini untuk tempuh 50 tahun akan datang," ujar Mazlan lagi. - mks.

Wednesday, July 11, 2007

Wujud diskriminasi dalam pelaburan KPF

Sumber; Berita Harian, 9 Julai 2007.
.
.
KITA sedia maklum tanpa peneroka, tiadalah Felda. Felda dan peneroka ibarat isi dengan kuku – saling perlu memerlukan. Atas kepemimpinan negara sekarang, warga peneroka Felda kian terbela.
.
Isu yang ingin saya utarakan ini berkaitan pelaburan dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF). Sebelum ini pemimpin kita ada membuat pengumuman bahawa semua warga peneroka layak mendapat pelaburan KPF sebanyak RM10,000 seorang menerusi skim pinjaman. Apa yang saya tahu setiap peneroka akan menerima pinjaman pelaburan dalam bentuk KPF dengan syarat yang ditetapkan.
.
Apa yang menjadi kemusykilan saya, tidak semua peneroka Felda yang mendapat peruntukan ini. Apabila soalan ini diajukan kepada pengurusan Felda, kami mendapat jawapan program itu dilakukan secara berperingkat.
.
Di sini saya inginkan penjelasan sewajarnya mengenai pemilihan mereka yang layak. Ada yang menerima dividen atas pelaburan mereka, manakala yang lain tidak mendapat khabar berita mengenai status mereka.Ada segelintir yang mendapat skim ini adalah mereka yang sebelum ini menentang keras usaha mereka menanam semula mengikut Felda dan mengambil keputusan menanam sendiri.
.
Apabila usaha mereka tidak berjaya barulah mula kembali kepada Felda.Untuk pengetahuan semua, di tempat saya ini pada awalnya yang menanam semula mengikut Felda adalah sedikit dan tidak sampai suku dari warganya. Selebihnya mengambil keputusan menanam sendiri dan saya amat berbangga juga kerana mereka amat yakin untuk berdikari mengusahakan tanah mereka.Namun dengan intensif yang diberikan kerajaan dan tanaman yang tidak berjaya, mereka mula kembali kepada Felda, itupun selepas mengusahakan tanaman sendiri tiga tahun.Pihak pengurusan Felda sepatutnya mengutamakan mereka yang menanam semula mengikut Felda kerana bilangannya tidak ramai. Apa yang mendukacitakan, hak kami diketepikan.
.
Oleh itu, saya meminta penjelasan pihak atasan Felda berhubung isu ini. Adakah pemilihan ini dibuat oleh pengurusan Felda setempat atau oleh pihak pengurusan Felda wilayah? Sewajarnyalah pihak atasan Felda mengambil perhatian dalam isu ini.
.
Pemimpin kita melaungkan slogan membela rakyat, tetapi apa yang berlaku sebaliknya atas sikap segelintir mereka yang tidak prihatin.
.
PENEROKA VETERAN,Felda Palong Satu,Gemas, Negeri Sembilan.

Peneroka akan jadi contoh orang Melayu

Sumber; Berita Harian, 9 Julai 2007.
.
.
PUTRAJAYA: Felda akan menjadikan kehidupan peneroka sebagai contoh kepada orang Melayu di negara ini dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan pembangunan sosioekonomi, pada masa depan.
.
Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, berkata kehidupan lebih sejuta warga Felda yang tersusun dan sentiasa bekerjasama dalam satu organisasi yang utuh memungkinkan pencapaian lebih hebat dalam tempoh 50 tahun akan datang."
.
Saya fikir hasrat kita ini akan menjadi kenyataan jika seluruh masyarakat Felda di seluruh negara mampu menjadi satu keluarga besar, walaupun tiada pertalian darah, bukan anak, anak saudara, bukan isteri tetapi bernaung di bawah satu organisasi yang boleh membuktikan bahawa inilah contoh terbaik harus diteladani.
.
"Inilah sumbangan yang nak kita beri kepada negara kira apabila menyambut 100 tahun kemerdekaan akan datang," katanya ketika merumuskan hasil Konvensyen Felda 2007 sempena sambutan Jubli Emas Hari Peneroka 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
.
Sebanyak lapan kertas kerja untuk merealisasikan lima teras pembangunan Felda 50 tahun kedua dibentangkan pada konvensyen tiga hari itu yang berakhir semalam.
.
Mohd Yusof berkata, faktor utama kejayaan Felda membantu membasmi kemiskinan tegar di kalangan masyarakat Melayu di negara ini adalah kerana kerjasama yang terjalin antara peneroka, pengurusan, kerajaan dan swasta.Beliau berkata, usaha secara individu tidak akan membuahkan hasil tanpa kerjasama daripada pelbagai pihak yang terbabit secara langsung dalam pembangunan Felda.
.
"Kita tidak boleh mengatakan kejayaan Felda hari ini adalah hanya hasil titik peluh seorang individu tetapi ia kombinasi kerjasama antara masyarakat peneroka, pengurusan dan kerajaan," katanya.
.
Mohd Yusof berkata, bagi meneruskan kejayaan pembangunan Felda bagi tempoh 50 tahun kedua, semua warga Felda perlu mengubah pemikiran supaya lebih terbuka, kreatif dan inovatif.Katanya, transformasi minda ini bukan hanya di kalangan peneroka tetapi juga generasi kedua dan kakitangan Felda yang perlu mengembling tenaga untuk merealisasikan lima teras pembangunan Felda.

317 rancangan Felda diberi wajah baru: TPM

Sumber; Berita Harian, 6 Julai 2007.
Kawasan kampung akan diubah berkonsep 'komuniti taman'.
PUTRAJAYA: Semua 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara akan berubah wajah menerusi program pengindahan dan penyelenggaraan berkonsepkan ‘komuniti taman’ membabitkan pemberian peruntukan RM1.68 juta sebulan.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata semua tanah rancangan Felda akan menjadi ‘komuniti taman’ yang bersih, indah dan terurus menerusi program itu.
.
“Tunggak utama dalam lima teras Felda bagi tempoh 50 tahun akan datang ialah menjadikan skim rancangan Felda sebagai komuniti contoh luar bandar.“Apa yang mahu dilakukan menerusi program ini ialah menambah keceriaan kawasan kampung Felda menjadi menjadi ‘komuniti taman’ yang bersih, indah dan teratur,” katanya ketika pada majlis sambutan Jubli Emas Hari Peneroka 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.
.
Turut hadir Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.Turut diraikan sekumpulan lapan juruukur perintis dari New Zealand yang bertanggungjawab mengukur keluasan tanah Felda ketika tanah rancangan itu mula dibuka.
.
Lebih 5,000 pemimpin dan masyarakat Felda, termasuk generasi muda tanah rancangan itu hadir pada majlis sambutan Jubli Emas Felda yang diasaskan pada 1 Julai 1956.Selain mendengar amanat Najib, sambutan jubli emas diadakan selama tiga hari di PICC itu turut membabitkan sesi motivasi dan pembentangan kertas kerja pelbagai topik.
.
Wajah baru Felda antara lain akan memberi tumpuan kepada aspek kebersihan, sistem pelupusan sampah, penyelenggaraan bangunan awam, pengubahsuaian rumah peneroka, pemasangan lampu jalan dan papan tanda, lanskap serta penggunaan sepenuhnya kawasan lapang.
.
Najib berkata, Felda juga menyediakan Tabung Rumah Peneroka Daif bagi membolehkan peneroka memiliki rumah usang atau daif mendapatkan geran sebanyak RM10,000 bagi membaik pulih rumah masing-masing.“Seorang pegawai khas akan dilantik dan individu ini tidak menunggu peneroka datang kepadanya, sebaliknya dia akan pergi dan ketuk pintu rumah peneroka daif dan usang,” katanya.
.
Beliau berkata, Felda juga akan menyediakan pinjaman maksimum RM40,000 kepada peneroka yang ingin mengubahsuai rumah menerusi program itu.Sehingga kini, 3,662 unit rumah peneroka Felda dikenal pasti masih dalam bentuk asal dan perlu diperbaiki dengan kos bernilai RM36.6 juta. Felda mengenal pasti 5,907 peneroka layak memohon pinjaman pengubahsuaian rumah tanpa faedah dengan tempoh bayaran balik 15 tahun.
.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Najib berkata, peruntukan RM1.68 juta setiap bulan akan diagihkan kepada semua 317 tanah rancangan Felda selama mana diperlukan.“Program pengindahan dan penyelenggaraan ini akan dilancarkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi,” katanya.
.
Sementara itu, Najib berkata, Felda dan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dalam peringkat akhir berbincang mengenai cadangan melatih anak peneroka menjadi juruterbang di syarikat itu.“Sekarang kita perlu mencari calon sesuai kerana latihan bermula setiap enam bulan,” katanya.
.
Beliau berkata, menerusi program pertama melahirkan juruterbang dari kalangan anak Felda, pengurusan akan menemuduga lima calon berkelayakan.“Jika mereka sesuai, mereka akan ditempatkan dan bilangan (pelatih) selanjutnya boleh ditambah lagi, mungkin 10 orang,” katanya.

Sunday, July 1, 2007

RM100j kos bina MRSMF di Sungkai

Petikan Akhbar - 30 Jun 2007, Berita Harian.
KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) di Feldajaya Trolak Utara, Sungkai, Perak, mampu menempatkan kira-kira 1,500 pelajar dan bakal menjadi MRSM terbesar di negara ini.
.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Yusof Noor, berkata pihaknya sudah mengeluarkan tender pembinaan MRSMF di kawasan seluas kira-kira 20 hektar dengan kos perbelanjaan RM100 juta.
.
Katanya, keseluruhan projek pembinaan MRSMF itu akan siap dalam tempoh dua tahun dan penempatannya bukan saja untuk anak peneroka dan kakitangan Felda tetapi kepada pelajar lain.
.
“Kita akan cadangkan kepada Mara supaya kuota penempatan pelajar di MRSF diagihkan 70 peratus kepada anak peneroka dan kakitangan Felda, manakala bakinya dibuka kepada pelajar lain.
.
“Kita berhasrat memulakan pengambilan pelajar bermula sesi tahun depan walaupun bangunannya belum siap kerana pelajar berkenaan boleh ditempatkan di bangunan sebuah kolej berdekatan,” katanya.
.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan perwakilan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF), di sini petang semalam. Hadir sama Pengerusi KPF, Datuk Khamis Md Som.Yusof berkata, pembinaan MRSMF itu yang akan antara lain mempunyai kemudahan pembelajaran, sukan, kokurikulum, kemudahan teknologi maklumat (IT) dan rumah pengetua serta guru, adalah cetusan idea Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Felda mahu peneroka meningkatkan amalan budaya menabung sekali gus meminta KPF mengadakan kempen bagi menggalakkan peneroka menambah pelaburan koperasi yang dianggotainya.
.
Beliau berkata, majoriti daripada 158,337 ahli koperasi itu, masing-masing mempunyai jumlah caruman kira-kira RM4,100 untuk tempoh sepanjang 26 tahun.

Universiti Felda sesuai di Jengka.

Petikan Akhbar - 28 Jun 2007, Berita Harian.
.
SAYA terpanggil untuk memberikan pandangan selepas membaca kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Abdul Rahman Suliman, mengenai penubuhan Universiti Felda 20 Jun lalu.
.
Sebagai anak peneroka Felda, saya gembira dengan pengumuman itu memandangkan ia diharapkan oleh semua warga Felda. Penubuhan Universiti Felda menjadi keperluan memandangkan Felda agensi terbesar di negara ini dan penyumbang ekonomi kedua terbesar kepada negara selepas Petronas.
.
Berdasarkan statistik tahun ini, jumlah peneroka Felda adalah 112,635 orang. Jika dianggarkan sebuah keluarga mempunyai lima anak, ini bermakna kerajaan terpaksa menyediakan kira-kira 560,000 tempat untuk anak peneroka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Justeru, menjadi tanggungjawab Felda menubuhkan sebuah universiti sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial kepada warga Felda dan seluruh rakyat Malaysia.
.
Pahang mempunyai 115 rancangan penempatan dengan 43,123 peneroka dan daripada jumlah itu, 14,596 adalah di Jengka. Justeru, wajar Universiti Felda dibangunkan di kawasan ini.
.
Pembangunan Universiti Felda akan meringankan beban peneroka untuk menghantar anak ke universiti. Kos pembelajaran di universiti awam semakin meningkat. MOHD NOR AZAM OTHMAN,Felda Lepar Utara 3, Jerantut

Thursday, June 21, 2007

Felda cadang tubuh universiti sendiri

KUALA LUMPUR 20 Jun 2007, Utusan Malaysia — Felda bercadang untuk menubuhkan sebuah universiti sendiri bagi menjamin peluang pendidikan tinggi kepada anak-anak peneroka Felda di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Abdul Raman Suliman.
.
Beliau berkata, cadangan penubuhan universiti itu kini dalam peringkat rundingan.
“Sekiranya semua berjalan baik, Felda sememangnya berhasrat untuk menubuhkan sebuah Universiti Felda selaras dengan perkara ketiga dalam misi Felda iaitu keluarga peneroka mempunyai tahap pendidikan yang sesuai,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) yang ingin tahu adakah Felda bercadang menubuhkan universiti sendiri memandangkan agensi itu mempunyai lebih dua juta hektar tanah dan membelanjakan lebih RM100 juta untuk program menghantar anak-anak peneroka ke institusi pengajian tinggi.
Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Raja Ahmad Zainuddin tentang keberkesanan Skim Tuisyen Felda (STF) Abdul Raman berkata, skim tuisyen yang diperkenalkan sejak 2004 berjaya membantu meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan anak-anak peneroka.
Buktinya seramai 72,062 anak peneroka Felda berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam pada tahun lepas, katanya.
.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 46,873 orang berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma, 24,269 di peringkat ijazah pertama dan 920 di peringkat ijazah lanjutan,” katanya.
Abdul Raman berkata, Felda akan mengkaji dan meneliti STF dari semasa ke semasa terutama daripada segi pencapaian dan keberkesanannya dan bercadang untuk mengambil guru-guru berkemahiran dan berpengetahuan luas bagi melaksanakan skim tuisyen itu.-Bernama

Sunday, June 3, 2007

Skim Felda bukti kejayaan Malaysia

.
Berita Harian (5 Mei 2007).
.
SKIM Felda yang diperkenalkan di negara ini sejak 51 tahun lalu, bukan saja menjadi projek pembangunan tanah paling berjaya di negara ini, malah di dunia, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
.
Beliau berkata, sehingga kini, skim itu sudah berjaya membangunkan kawasan seluas kira-kira 811,140 hektar tanah hutan, termasuk 18.4 peratus bagi penanaman kelapa sawit dan getah di seluruh negara.
.
“Kawasan kelapa sawit yang sudah dibangunkan setakat ini kira-kira 702,000 hektar, manakala 102,000 hektar lagi bagi getah iaitu mewakili masing-masing 18 dan sembilan peratus hasil keseluruhan pengeluaran negara bagi kedua-dua tanaman berkenaan.
.
“Secara keseluruhannya, Felda juga membekalkan kira-kira lapan peratus hasil pengeluaran minyak sawit dunia,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada forum bertajuk Merapatkan Jurang Kemiskinan – Bagaimana Kerajaan dan Sektor Swasta Boleh Bekerjasama Dalam Pembangunan sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia.
.
Yusof berkata, sejak skim itu diwujudkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1956, Felda berjaya menempatkan 112,635 peneroka di 317 kawasan penempatan.
.
Katanya, walaupun proses pengambilan peneroka baru sudah dihentikan sejak 1990, bilangan komuniti di situ dijangka terus meningkat melalui generasi kedua dan ketiga peneroka terbabit.“Adalah dianggarkan bilangan penduduk menghuni kawasan skim itu sehingga kini dianggarkan sudah mencapai hampir dua juta orang dan kita jangka bilangan itu akan terus meningkat,” katanya.
.
Yusof berkata, dalam usaha mengukuhkan agensi kerajaan itu sekali gus memastikannya mampu menghadapi cabaran global, pelbagai pendekatan komprehensif sudah dan akan dilaksanakan.

Thursday, May 31, 2007

Peneroka diminta setia kepada Felda

(Petikan Akhbar)
Sumber; http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Nasional/20070526225911/Article/
Berita Harian. Khamis (26 Mei 2007)
.
DUNGUN: Kerajaan negeri menuntut kesetiaan peneroka Felda terhadap pengurusan agensi pembangunan tanah dilantik kerajaan dalam segala aspek terutama bagi menguruskan kebun dan hasilnya.
.
Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata hasrat pengurusan Felda untuk meningkatkan taraf hidup peneroka akan terbantut dan impian kerajaan merealisasikan lima teras digariskan untuk warga Felda tidak akan menjadi kenyataan.Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius isu ketidaksetiaan peneroka kepada pengurusan Felda yang sebelum ini sentiasa berusaha keras meningkatkan sumber ekonomi peneroka."
.
Oleh itu, peneroka yang menjual hasil kepada orang ketiga serta tidak menguruskan sendiri ladang sebagai api dalam sekam dan ia perlu ditangani segera."Peneroka hendaklah bersatu di bawah pengurusan Felda yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka," katanya selepas merasmikan Felda AAM Malaysia Rally Championship Pusingan Kedua dan Felda Open Mountain Bike Challenge 2007 di Kolej Integrasi Ilmu di Felda Kertih 2, di sini, semalam.
.
Hadir sama Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Yusof Noor; Pengarah Besar Felda, Datuk Ahmad Tarmizi Alias dan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Dr Rosli Mat Hassan.Idris berkata, sejak kerajaan menubuhkan Felda 50 tahun lalu, agensi itu bukan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan tanah dan membina pusat penempatan semula, tetapi memainkan peranan utama mengusahakan produk komersial berasaskan tani.
.
Katanya, kerajaan meminta peneroka Felda memainkan peranan menangkis setiap isu ditimbulkan pembangkang kerana jika dibiarkan ia boleh menimbulkan keraguan di kalangan rakyat."Masyarakat Felda sepatutnya dijadikan contoh terbaik penduduk luar bandar kerana memiliki komuniti moden, kawasan bersih, bebas daripada gejala sosial dan perkampungan yang mempunyai landskap menarik serta infrastruktur sempurna.
.
"Matlamat kerajaan untuk menjadikan masyarakat Felda sebagai golongan berpendapatan pertengahan dan untuk itu kita menyeru kepada peneroka tidak mensia-siakan peluang daripada pelbagai kemudahan disediakan," katanya.
.
Persoalannya; Sejauh manakah Felda setia kepada peneroka?

Monday, April 23, 2007

Skim tuisyen percuma jana murid cemerlang?

(Petikan Akhbar)
Berita Harian, Khamis (17 Mei 2007).
.
Pengurusan Felda Pemanis Dua anjur kelas bimbing anak peneroka kuasai Bahasa Inggeris, MatematikSEGAMAT: Skim Tuisyen Felda (STF) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran diperkenalkan sebagai memastikan kecemerlangan pendidikan anak peneroka di tanah rancangan berkenaan setanding pelajar bandar.
.
Skim itu mula diperkenalkan pada Ogos 2004 dan dilaksanakan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Skim tuisyen itu dilaksanakan dengan tujuan membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
.
Selain itu, Pusat Tuisyen bahasa Inggeris Wilayah juga dilaksanakan di setiap wilayah yang membabitkan dua pusat tuisyen seumpama itu di setiap wilayah. Kemudahan diberi kepada pelajar tahun tiga dan empat di sekolah rendah serta pelajar tingkatan satu dan dua di sekolah menengah.
.
Pelajar yang berpotensi dipilih untuk mengikuti kelas yang disediakan dan meningkatkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris khususnya dan mata pelajaran Matematik dan Sains.
.
Felda sendiri mengambil perhatian berat terhadap kejayaan skim berkenaan dan menempatkan seorang pegawai khas di setiap tanah rancangan untuk memantau perjalanan kelas serta kemajuan anak peneroka terbabit.Felda Pemanis Dua di sini, tidak terkecuali menganjurkan skim itu dan Skim Tuisyen Khas bahasa Inggeris dan Matematik (STKIM) dengan kerjasama Biro Pendidikan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), pentadbiran Felda, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.
.
Sejak diperkenalkan skim berkenaan keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM anak peneroka mula menampakkan perubahan apabila ramai yang mendapat keputusan 5A UPSR, 8A PMR serta 8A SPM.
Sejauh mana kesahihan fakta ini?