Sunday, June 3, 2007

Skim Felda bukti kejayaan Malaysia

.
Berita Harian (5 Mei 2007).
.
SKIM Felda yang diperkenalkan di negara ini sejak 51 tahun lalu, bukan saja menjadi projek pembangunan tanah paling berjaya di negara ini, malah di dunia, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
.
Beliau berkata, sehingga kini, skim itu sudah berjaya membangunkan kawasan seluas kira-kira 811,140 hektar tanah hutan, termasuk 18.4 peratus bagi penanaman kelapa sawit dan getah di seluruh negara.
.
“Kawasan kelapa sawit yang sudah dibangunkan setakat ini kira-kira 702,000 hektar, manakala 102,000 hektar lagi bagi getah iaitu mewakili masing-masing 18 dan sembilan peratus hasil keseluruhan pengeluaran negara bagi kedua-dua tanaman berkenaan.
.
“Secara keseluruhannya, Felda juga membekalkan kira-kira lapan peratus hasil pengeluaran minyak sawit dunia,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada forum bertajuk Merapatkan Jurang Kemiskinan – Bagaimana Kerajaan dan Sektor Swasta Boleh Bekerjasama Dalam Pembangunan sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia.
.
Yusof berkata, sejak skim itu diwujudkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1956, Felda berjaya menempatkan 112,635 peneroka di 317 kawasan penempatan.
.
Katanya, walaupun proses pengambilan peneroka baru sudah dihentikan sejak 1990, bilangan komuniti di situ dijangka terus meningkat melalui generasi kedua dan ketiga peneroka terbabit.“Adalah dianggarkan bilangan penduduk menghuni kawasan skim itu sehingga kini dianggarkan sudah mencapai hampir dua juta orang dan kita jangka bilangan itu akan terus meningkat,” katanya.
.
Yusof berkata, dalam usaha mengukuhkan agensi kerajaan itu sekali gus memastikannya mampu menghadapi cabaran global, pelbagai pendekatan komprehensif sudah dan akan dilaksanakan.

No comments: