Tuesday, August 28, 2007

Felda sedia perjelas wang BTS Aping Timur.

Sumber; Berita Harian, 27 Ogos 2007.
Agensi guna peruntukan diberikan Risda bagi kerja tanam semula sawit dan ia dilakukan mengikut prosedur, proses yang dipersetujui kerajaan.
KOTA TINGGI: Peneroka Felda Bukit Aping Timur yang keliru dengan status wang Bantuan Tanam Semula (BTS) getah kepada tanaman kelapa sawit diminta mengunjungi pejabat Felda bagi mendapatkan penjelasan secara terus daripada agensi berkenaan.

Beliau berkata, wang BTS yang dipohon peneroka kepada Risda itu digunakan Felda untuk kerja tanam semula sawit dan ia dilakukan mengikut prosedur dan proses yang dipersetujui kerajaan.
"Perkara itu sudah kami jelaskan kepada peneroka melalui Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan ketua blok.
"Mungkin ada sebahagian kecil peneroka yang tidak faham dengan prosedur itu atau mereka tidak terima maklumat berhubung perkara itu, membuatkan mereka tidak puas hati," katanya.
Abu Bakar berkata, surat daripada Risda itu hanya satu proses pemberitahuan kepada peneroka, dan wang itu sebenarnya adalah untuk tanam semula getah kepada kelapa sawit dengan peneroka tidak akan menerima wang itu kerana ia sudah dipindahkan kepada Felda.
Beliau berkata, Felda tidak khuatir terhadap rasa tidak puas hati peneroka kerana semua proses antara jabatan itu adalah mengikut pekeliling kerajaan."Mana-mana peneroka yang kurang faham dialu-alukan supaya datang terus ke pejabat," katanya.
Peneroka, Saberan Basseri, 58, berkata selepas ladang getah mereka ditebang pada 2002, semua peneroka bersetuju menukar kepada tanaman sawit pada 2004 dan sudah mengeluarkan hasil sekarang.Beliau berkata, pada Jun 2006, semua peneroka kemudian diminta mengemukakan permohonan kepada Risda untuk kerja tanam semula itu.
"Merujuk surat bertarikh 16 Disember 2006 yang dikeluarkan Risda, semua peneroka diberitahu akan menerima wang Bayaran BTS Getah ke Tanaman Lain sebanyak antara RM9,000 dan RM12,000 mengikut keluasan tanah. "Kami hanya mahu tahu wang yang dikeluarkan Risda itu disalurkan ke mana.
Bagi tanah saya yang seluas 4.05 hektar, bayaran yang tercatat adalah sebanyak RM10,137.50. Saya ingin mengetahui sama ada wang itu akan kami perolehi atau Felda akan bayar untuk urusan lain," katanya.
Peneroka, Talib Bagong, 68, yang turut keliru dengan pernyataan dalam surat itu dan tindakan yang dilakukan Felda terhadap wang berkenaan mendakwa pernah merujuk kepada pejabat Felda Aping Timur sebelum diarahkan membuka akuan bank.
"Kami tidak faham mengapa kami diminta memohon bantuan kepada Risda dan selepas bantuan dikeluarkan, wang itu tidak pula kami terima," katanya yang mahu penjelasan sewajarnya daripada pihak Felda.

No comments: