Tuesday, August 28, 2007

Felda sedia perjelas wang BTS Aping Timur.

Sumber; Berita Harian, 27 Ogos 2007.
Agensi guna peruntukan diberikan Risda bagi kerja tanam semula sawit dan ia dilakukan mengikut prosedur, proses yang dipersetujui kerajaan.
KOTA TINGGI: Peneroka Felda Bukit Aping Timur yang keliru dengan status wang Bantuan Tanam Semula (BTS) getah kepada tanaman kelapa sawit diminta mengunjungi pejabat Felda bagi mendapatkan penjelasan secara terus daripada agensi berkenaan.

Beliau berkata, wang BTS yang dipohon peneroka kepada Risda itu digunakan Felda untuk kerja tanam semula sawit dan ia dilakukan mengikut prosedur dan proses yang dipersetujui kerajaan.
"Perkara itu sudah kami jelaskan kepada peneroka melalui Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan ketua blok.
"Mungkin ada sebahagian kecil peneroka yang tidak faham dengan prosedur itu atau mereka tidak terima maklumat berhubung perkara itu, membuatkan mereka tidak puas hati," katanya.
Abu Bakar berkata, surat daripada Risda itu hanya satu proses pemberitahuan kepada peneroka, dan wang itu sebenarnya adalah untuk tanam semula getah kepada kelapa sawit dengan peneroka tidak akan menerima wang itu kerana ia sudah dipindahkan kepada Felda.
Beliau berkata, Felda tidak khuatir terhadap rasa tidak puas hati peneroka kerana semua proses antara jabatan itu adalah mengikut pekeliling kerajaan."Mana-mana peneroka yang kurang faham dialu-alukan supaya datang terus ke pejabat," katanya.
Peneroka, Saberan Basseri, 58, berkata selepas ladang getah mereka ditebang pada 2002, semua peneroka bersetuju menukar kepada tanaman sawit pada 2004 dan sudah mengeluarkan hasil sekarang.Beliau berkata, pada Jun 2006, semua peneroka kemudian diminta mengemukakan permohonan kepada Risda untuk kerja tanam semula itu.
"Merujuk surat bertarikh 16 Disember 2006 yang dikeluarkan Risda, semua peneroka diberitahu akan menerima wang Bayaran BTS Getah ke Tanaman Lain sebanyak antara RM9,000 dan RM12,000 mengikut keluasan tanah. "Kami hanya mahu tahu wang yang dikeluarkan Risda itu disalurkan ke mana.
Bagi tanah saya yang seluas 4.05 hektar, bayaran yang tercatat adalah sebanyak RM10,137.50. Saya ingin mengetahui sama ada wang itu akan kami perolehi atau Felda akan bayar untuk urusan lain," katanya.
Peneroka, Talib Bagong, 68, yang turut keliru dengan pernyataan dalam surat itu dan tindakan yang dilakukan Felda terhadap wang berkenaan mendakwa pernah merujuk kepada pejabat Felda Aping Timur sebelum diarahkan membuka akuan bank.
"Kami tidak faham mengapa kami diminta memohon bantuan kepada Risda dan selepas bantuan dikeluarkan, wang itu tidak pula kami terima," katanya yang mahu penjelasan sewajarnya daripada pihak Felda.

Wednesday, August 22, 2007

Peneroka Felda Lembah Klau saman kerajaan


Sumber; Utusan Malaysia, 21 / 08 / 2007

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Sebanyak 474 peneroka Felda di Lembah Klau, Raub, Pahang (LKRP) telah menyaman kerajaan Malaysia untuk menuntut ganti rugi berhubung pengambilan tanah mereka bagi cadangan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor.


Saman pemula tersebut dikemukakan kerana mereka tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang bakal diperoleh hasil pengambilan tanah bagi pembinaan Empangan Kelau di bawah projek itu.


Pengerusi Jawatankuasa Perundingan dan Bertindak Projek Empangan Kelau (JPBPEK), Datuk Abdullah Abu Bakar selaku plaintif yang mewakili kesemua peneroka Felda terbabit, turut menamakan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi sebagai defendan.


Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Uma & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Ogos lalu.


Hari ini, hampir 100 peneroka terbabit hadir di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini sebelum saman yang dimeterai diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.


Dalam saman pemula itu, plaintif menuntut perisytiharan supaya defendan membuktikan dan mendedahkan tanah yang diberi milik, harga dinilai dan syarat-syarat berkaitan memandangkan ia adalah projek usahasama antara kerajaan dan swasta.


Defendan juga dituntut membuktikan dan mendedahkan kajian Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang dibuat di penempatan itu dan bertanggungjawab menjalankan satu penilaian penuh serta lengkap berkenaan dengan kos projek tersebut.


Selain itu, defendan bertanggungjawab menyediakan laporan parlimen berkenaan projek tersebut sebelum dilaksanakan memandangkan ia membabitkan penempatan Felda berkenaan.
Plaintif menuntut perisytiharan supaya gantirugi ditaksirkan pada RM7 sekaki persegi kepada kesemua tanah milik peneroka seluas kira-kira 1,934 hektar.



Melalui afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Abdullah, 45, beliau mendakwa, LKRP itu dibangunkan oleh penduduk dari seluruh negara atas undangan kerajaan pada tahun 1963/64.
Dakwa beliau, peneroka-peneroka terbabit pada awalnya membangunkan kawasan itu dengan penanaman getah sebelum diganti dengan peladangan kelapa sawit.



Bagaimanapun, katanya, kedudukan LKRP digugat oleh projek itu dengan Empangan Kelau akan dibina sebagai empangan kawalan untuk menahan dan menakung air.


Pada tahun 1999, dakwa Abdullah, pihak plaintif telah memohon pampasan istimewa diberikan sebagai gantirugi tetapi tiada maklum balas diterima meskipun projek itu akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan.


“Setiap peneroka yang mempunyai antara lapan hingga 10 ekar tanah menuntut RM3.45 sekaki persegi sebagai gantirugi khas dan RM3.55 sekaki persegi sebagai gantirugi am,” katanya.


Dalam hal ini, menurutnya, ketiadaan peruntukan tidak boleh dijadikan alasan kerana kerajaan telah mendapat kelulusan pinjaman berjumlah 82.04 bilion Yen dari Japan Bank For International Coorperation (JBIC) pada tahun 2003.


Oleh itu, beliau memohon supaya projek itu ditangguhkan sehingga jumlah gantirugi diputuskan oleh mahkamah dan dibayar kepada mereka.


Sementara itu, Kamis Saad, 67, berkata, tindakan saman tersebut diambil kerana mereka tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan RM30,000 bagi satu ekar yang ingin diberikan oleh kerajaan.


“Kami lakukan ini untuk mendapatkan keadilan,” katanya yang meneroka dan menetap di penempatan Felda itu sejak 42 tahun lalu.


Rakannya, Mohamad Musa, 46, memberitahu, jumlah pampasan yang diberikan adalah tidak setimpal dengan kerja-kerja yang telah dilakukan sebelum ini.


Hamzah Ismail, 62, pula menyatakan, mereka berada dalam keadaan tidak menentu kerana tiada wakil kerajaan yang datang untuk berbincang dengan mereka kecuali wakil daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).