Wednesday, June 25, 2008

Felda berjaya lahir lebih 10,000 profesional

MARAN 21 Jun - Felda berjaya melahirkan lebih 10,000 orang profesional dalam kalangan anak peneroka menerusi pelbagai program pendidikan bersepadu yang dilaksanakan di tanah rancangan itu sejak penubuhan agensi tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan melahirkan jurutera, doktor dan akauntan membuktikan anak peneroka Felda mampu berjaya dalam pendidikan sekali gus bersaing di peringkat lebih tinggi.

Berikutan itu, katanya, kerajaan menerusi Felda akan terus membantu melatih anak peneroka untuk keluar daripada kemiskinan dan meningkatkan bilangan profesional dalam kalangan mereka.

"Penubuhan Pusat Pembelajaran Sains (PPS) di sekolah harian berasrama merupakan pendekatan strategik bagi menambah jumlah pelajar dalam aliran sains di Felda dan luar bandar.

"Objektif kedua PPS ialah untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran sains dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan berfokus dari segi penyediaan guru, kemudahan pembelajaran serta kemudahan asrama.

"Pembukaan PPS ini melibatkan pertambahan kos sebanyak RM3.49 juta setahun untuk subsidi bayaran makan di asrama kepada 970 pelajar yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PPS di sekolah menengah harian berasrama bagi pelajar Felda dan luar bandar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2 dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Rozali Ismail' Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Aziz Abdul Latif.

Najib memberitahu, pada tahun ini, sebanyak 10 PPS dibuka iaitu lima di Pahang membabitkan SMK Pontian Jaya, Rompin; SMK Batu 8, Pekan; SMK Jengka 2, Maran; SMK Purun, Bera dan SMK Kuala Repas, Bentong.

Sekolah-sekolah lain, jelasnya, dua masing-masing di Terengganu iaitu SMK Ayer Putih, Kemaman dan SMK Felda Jerangau, Dungun, manakala di Kelantan, SMK Felda Kemahang, Tanah Merah dan SMK Felda Ciku 2, Gua Musang.

Menurut beliau, jumlah pelajar di 10 PPS itu ialah seramai 970 orang yang terdiri daripada 73 peratus anak peneroka, manakala selebihnya bukan dari sekolah Felda.

"Pelajar terpilih ini akan menjalani tuisyen selama 12 jam seminggu membabitkan enam mata pelajaran iaitu Sains Tulen, Matematik, Matematik Tambahan dan Bahasa Inggeris yang dibiayai sepenuhnya oleh Felda," katanya.

Beliau menegaskan, program PPS bertujuan menambah jumlah penyertaan pelajar dalam aliran sains termasuk calon yang memperoleh gred C bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Najib turut menyokong pendekatan Kementerian Pelajaran bagi mencapai sasaran nisbah 60:40 iaitu 60 peratus pelajar aliran sains dan teknikal, manakala 40 peratus aliran sastera di peringkat menengah atas menjelang 2010.

"Kita optimis sasaran Kementerian Pelajaran itu tercapai pada tahun 2010 berikutan pencapaiannya kini mencecah 56 peratus pada tahun ini," katanya.


SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0622&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_07.htm&arc=hive

No comments: