Wednesday, June 25, 2008

Tanah rancangan Felda kurang program motivasi

KUALA LIPIS 23 Jun 2008 - Golongan peneroka Gugusan Felda Sungai Koyan, Jelai di sini mahu program motivasi kepimpinan keluarga dan kecemerlangan anak-anak diadakan dengan lebih kerap di kawasan mereka.

Usaha itu menurut mereka, dapat memberi pendedahan mengenai kaedah terbaru terhadap pendidikan anak-anak di rumah selain merealisasikan pembentukan keluarga bahagia.

Sehubungan itu, mereka berharap kerajaan menerusi agensi berkaitan memperluaskan lagi program seumpama itu dalam aspek kepimpinan, ekonomi, kerjaya dan jati diri kepada ibu bapa, belia serta pelajar di kawasan Felda.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Sungai Koyan Satu, Kholid Hussain berkata, pihaknya meminta lebih ramai cerdik pandai dan pemimpin politik meneruskan usaha meningkatkan taraf pelajaran anak-anak peneroka di Felda dan kampung tradisional di pedalaman Hulu Jelai.

Menurutnya, program motivasi berkenaan amat wajar untuk mengingati semua pihak mengenai tanggungjawab mendidik anak-anak.

''Program ini amat baik dan kita sentiasa digalakkan beringat antara satu sama lain dan mencari jalan meningkatkan kemajuan anak-anak dalam pelajaran dan pembinaan modal insan," katanya.

Beliau ditemui selepas program motivasi ibu bapa dan penjaga pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Felda Sungai Koyan dekat sini baru-baru ini.

Ceramah motivasi disampaikan Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Mustapha Long dan Ketua Unit Pendidikan Felda Wilayah Mempaga, Shamsiah Majid.

Kholid berkata, pihaknya juga meminta lebih ramai penceramah 'turun padang' untuk memberi pemahaman kepada ibu bapa mengenai pendidikan termasuk modul pembinaan keluarga bahagia.

Pengerusi JKKK Felda Sungai Koyan Dua, Mohd. Zain Zakaria berkata, ibu bapa dan penjaga perlu didedahkan dengan pengetahuan baru mengenai kepimpinan keluarga ketika dunia menghadapi pelbagai cabaran.

''Kita perlu kerap didedahkan panduan untuk mendidik anak-anak dan bertukar pendapat mencari jalan menghadapi ledakan pengaruh negatif yang meruntuhkan akhlak," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta, semua pihak perlu mengukuhkan ikatan kejiranan dan membudayakan sikap tegur-menegur antara satu sama lain.

Bagi seorang suri rumah Felda Sungai Koyan Satu, Kamisah Mohamad, 41, anak-anak perlu diberi perhatian serius dalam semua aspek sama ada di dalam atau luar rumah.

''Ibu bapa adalah orang yang pertama mendidik anak-anak dan memantau kegiatan harian mereka selain kewajiban guru memberi pendidikan formal," katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu berharap lebih banyak program kekeluargaan anjuran JKKK, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin tempatan didedahkan kepada golongan ibu bapa di sini.

Seorang lagi suri rumah dari Felda Sungai Koyan Tiga, Norhani Mohd. Nordin, 58, berkata, ibu bapa kini berhadapan dengan cabaran yang datang daripada pelbagai media termasuk Internet yang memberi impak kepada kelakuan anak-anak.

''Ibu bapa perlu menjadualkan kehidupan harian anak-anak bermula daripada peringkat awal tanpa mengabaikan pendidikan akhlak dan pelajaran serta meluangkan lebih masa mendekatkan diri dengan mereka walaupun sibuk dengan tugas lain," katanya.

Oleh itu, kata ibu kepada 10 orang anak itu, program motivasi boleh memberi rangsangan kepada ibu bapa untuk memperbaiki kaedah mendidik anak-anak.

Sementara itu, Ketua Perkumpulan Wanita (WI) Sungai Koyan, Sapiah Mohamad berkata, pihaknya kerap mengatur pertemuan dengan golongan wanita Felda dan memberi pengetahuan dalam aspek kekeluargaan terutama pendidikan anak-anak.

''Kami sedaya upaya membantu ibu-ibu menangani masalah mereka dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan anak-anak dan pengurusan kewangan," katanya.

Pertemuan dengan golongan wanita di kawasan Felda, tambah Sapiah, bertujuan berkongsi pandangan selain meningkatkan kemahiran mereka dalam penghasilan produk makanan untuk menambah pendapatan keluarga.


http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0624&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_02.htm&arc=hive

No comments: