Wednesday, July 11, 2007

317 rancangan Felda diberi wajah baru: TPM

Sumber; Berita Harian, 6 Julai 2007.
Kawasan kampung akan diubah berkonsep 'komuniti taman'.
PUTRAJAYA: Semua 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara akan berubah wajah menerusi program pengindahan dan penyelenggaraan berkonsepkan ‘komuniti taman’ membabitkan pemberian peruntukan RM1.68 juta sebulan.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata semua tanah rancangan Felda akan menjadi ‘komuniti taman’ yang bersih, indah dan terurus menerusi program itu.
.
“Tunggak utama dalam lima teras Felda bagi tempoh 50 tahun akan datang ialah menjadikan skim rancangan Felda sebagai komuniti contoh luar bandar.“Apa yang mahu dilakukan menerusi program ini ialah menambah keceriaan kawasan kampung Felda menjadi menjadi ‘komuniti taman’ yang bersih, indah dan teratur,” katanya ketika pada majlis sambutan Jubli Emas Hari Peneroka 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.
.
Turut hadir Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.Turut diraikan sekumpulan lapan juruukur perintis dari New Zealand yang bertanggungjawab mengukur keluasan tanah Felda ketika tanah rancangan itu mula dibuka.
.
Lebih 5,000 pemimpin dan masyarakat Felda, termasuk generasi muda tanah rancangan itu hadir pada majlis sambutan Jubli Emas Felda yang diasaskan pada 1 Julai 1956.Selain mendengar amanat Najib, sambutan jubli emas diadakan selama tiga hari di PICC itu turut membabitkan sesi motivasi dan pembentangan kertas kerja pelbagai topik.
.
Wajah baru Felda antara lain akan memberi tumpuan kepada aspek kebersihan, sistem pelupusan sampah, penyelenggaraan bangunan awam, pengubahsuaian rumah peneroka, pemasangan lampu jalan dan papan tanda, lanskap serta penggunaan sepenuhnya kawasan lapang.
.
Najib berkata, Felda juga menyediakan Tabung Rumah Peneroka Daif bagi membolehkan peneroka memiliki rumah usang atau daif mendapatkan geran sebanyak RM10,000 bagi membaik pulih rumah masing-masing.“Seorang pegawai khas akan dilantik dan individu ini tidak menunggu peneroka datang kepadanya, sebaliknya dia akan pergi dan ketuk pintu rumah peneroka daif dan usang,” katanya.
.
Beliau berkata, Felda juga akan menyediakan pinjaman maksimum RM40,000 kepada peneroka yang ingin mengubahsuai rumah menerusi program itu.Sehingga kini, 3,662 unit rumah peneroka Felda dikenal pasti masih dalam bentuk asal dan perlu diperbaiki dengan kos bernilai RM36.6 juta. Felda mengenal pasti 5,907 peneroka layak memohon pinjaman pengubahsuaian rumah tanpa faedah dengan tempoh bayaran balik 15 tahun.
.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Najib berkata, peruntukan RM1.68 juta setiap bulan akan diagihkan kepada semua 317 tanah rancangan Felda selama mana diperlukan.“Program pengindahan dan penyelenggaraan ini akan dilancarkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi,” katanya.
.
Sementara itu, Najib berkata, Felda dan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dalam peringkat akhir berbincang mengenai cadangan melatih anak peneroka menjadi juruterbang di syarikat itu.“Sekarang kita perlu mencari calon sesuai kerana latihan bermula setiap enam bulan,” katanya.
.
Beliau berkata, menerusi program pertama melahirkan juruterbang dari kalangan anak Felda, pengurusan akan menemuduga lima calon berkelayakan.“Jika mereka sesuai, mereka akan ditempatkan dan bilangan (pelatih) selanjutnya boleh ditambah lagi, mungkin 10 orang,” katanya.

No comments: