Wednesday, July 11, 2007

Peneroka akan jadi contoh orang Melayu

Sumber; Berita Harian, 9 Julai 2007.
.
.
PUTRAJAYA: Felda akan menjadikan kehidupan peneroka sebagai contoh kepada orang Melayu di negara ini dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan pembangunan sosioekonomi, pada masa depan.
.
Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, berkata kehidupan lebih sejuta warga Felda yang tersusun dan sentiasa bekerjasama dalam satu organisasi yang utuh memungkinkan pencapaian lebih hebat dalam tempoh 50 tahun akan datang."
.
Saya fikir hasrat kita ini akan menjadi kenyataan jika seluruh masyarakat Felda di seluruh negara mampu menjadi satu keluarga besar, walaupun tiada pertalian darah, bukan anak, anak saudara, bukan isteri tetapi bernaung di bawah satu organisasi yang boleh membuktikan bahawa inilah contoh terbaik harus diteladani.
.
"Inilah sumbangan yang nak kita beri kepada negara kira apabila menyambut 100 tahun kemerdekaan akan datang," katanya ketika merumuskan hasil Konvensyen Felda 2007 sempena sambutan Jubli Emas Hari Peneroka 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
.
Sebanyak lapan kertas kerja untuk merealisasikan lima teras pembangunan Felda 50 tahun kedua dibentangkan pada konvensyen tiga hari itu yang berakhir semalam.
.
Mohd Yusof berkata, faktor utama kejayaan Felda membantu membasmi kemiskinan tegar di kalangan masyarakat Melayu di negara ini adalah kerana kerjasama yang terjalin antara peneroka, pengurusan, kerajaan dan swasta.Beliau berkata, usaha secara individu tidak akan membuahkan hasil tanpa kerjasama daripada pelbagai pihak yang terbabit secara langsung dalam pembangunan Felda.
.
"Kita tidak boleh mengatakan kejayaan Felda hari ini adalah hanya hasil titik peluh seorang individu tetapi ia kombinasi kerjasama antara masyarakat peneroka, pengurusan dan kerajaan," katanya.
.
Mohd Yusof berkata, bagi meneruskan kejayaan pembangunan Felda bagi tempoh 50 tahun kedua, semua warga Felda perlu mengubah pemikiran supaya lebih terbuka, kreatif dan inovatif.Katanya, transformasi minda ini bukan hanya di kalangan peneroka tetapi juga generasi kedua dan kakitangan Felda yang perlu mengembling tenaga untuk merealisasikan lima teras pembangunan Felda.

No comments: