Friday, July 13, 2007

Selesaikan masalah peneroka, sebelum bina lanskap RM1.68 juta - Mazlan

Salman Hussin Tue Jul 10, 07 09:23:52 AM

KULAI, 10 Julai (Hrkh) – Kerajaan perlu memberi keutamaan bagi menyelesaikan berbagai masalah membabitkan peneroka dan pengurusan Felda yang masih berbangkit sehingga hari ini sebelum sesuatu rancangan baru dirancang dan dilaksanakan.
“Apa pun rancangan yang bakal dilaksanakan nanti tidak mungkin akan berjaya mencapai matlamat yang diharapkan sekiranya isu-isu yang berbangkit ini tidak diselesaikan terlebih dahulu," kata Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Petani, Peneroka, Nelayan dan Penternak PAS Pusat, Mazlan Aliman, di sini.

Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini, berhubung cadangan Felda untuk mengindahkan lanskap di 317 felda di negara ini dengan kos RM1.68 juta.

Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet bagi hal ehwal Felda mengumumkan perkara ini di hadapan 5,000 pemimpin dan masyarakat Felda seluruh negara pada Konvensyen Jubli Emas Hari Peneroka 2007 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Mazlan, sehingga hari ini masih terdapat berbagai-bagai masalah yang terus membelenggu golongan peneroka Felda di negara ini, masalah-masalah yang berbangkit ini sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang rancangan baru dijalankan.

“Kita mengalu-alukan sebarang usaha kerajaan untuk memajukan peneroka dan juga tanah-tanah rancangan Felda di negara ini tetapi pada masa yang sama kita juga tidak mahu Felda mengabaikan persoalan pokok selepas 50 tahun Felda diwujudkan.

“Sehingga hari ini golongan peneroka masih tertanya-tanya bagaimana pengagihan kekayaan Felda dilakukan, ini kerana walau pun setelah 50 tahun Felda wujud dan kekayaan dimiliki Felda difahamkan mencapai RM50 bilion, namun taraf hidup sebahagian besar peneroka masih tidak jauh berubah bahkan ada kalangan mereka yang terpaksa bekerja di luar untuk menambah pendapatan,"jelasnya.

Felda juga menurut Mazlan, sehingga kini masih gagal menyediakan penempatan bagi generasi kedua Felda selain kegagalan membendung masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan di tanah-tanah rancangan Felda.

“Kalau di peringkat awal penubuhan Felda dulu jawatan Penyelia Agama diwujudkan di setiap Felda bertujuan memberi bimbingan dalam soal-soal keagamaan di tanah-tanah rancangan ini tetapi sekarang jawatan penyelia agama ini telah dimansuhkan, jawatan ini diambilalih oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR).

“Kesan daripada pemansuhan jawatan penyelia agama ini sedikit sebanyak telah menyumbang berlakunya gejala keruntuhan akhlak yang semakin parah di tanah-tanah rancangan Felda di negara kita hari ini," jelasnya lagi.
Selain itu kaedah bayaran balik hutang peneroka perlu dikaji semula kerana banyak perkara yang menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puashati peneroka disebabkan kaedah yang digunapakai tidak begitu jelas, katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

“Peneroka tiada hak untuk mengetahui bagaimana kaedah yang digunapakai untuk mengira jumlah hutang mereka sebaliknya peneroka dipaksa membayar jumlah tertentu yang telah ditetapkan Felda walaupun jumlahnya dianggap tidak munasabah,"sambungnya.

Katanya lagi, “Program tanam semula kelapa sawit dan getah juga menimbulkan rasa tidak puashati peneroka apabila mereka dipaksa menjalankan proses tanam semula ini di bawah pengurusan Felda, mereka tidak dibenarkan melakukan tanam semula secara persendirian.

“Peraturan ini hanya akan menyebabkan peneroka terus berhutang dengan felda untuk satu jangka masa yang panjang sedangkan mereka mampu melakukan sendiri dan kosnya juga jauh lebih rendah berbanding pengurusan tanam semula yang dilakukan di bawah Felda."

Katanya, “Isu-isu membabitkan Felda seperti yang berlaku di Felda Cahaya Baru Masai, walaupun sudah lebih 15 tahun berlalu tetapi masalah mereka masih belum selesai sehingga hari ini, isu seumpama ini sepatutnya menjadi keutamaan untuk diselesaikan terlebih dahulu kerana ianya membabitkan kepentingan ratusan peneroka Felda."

Selain itu, isu pembahagian keluasan tanah Felda kepada setiap peneroka juga masih tidak selesai lagi, peneroka yang sepatutnya mendapat 10 ekar seperti perjanjian awal dengan Felda bagaimanapun hanya mendapat tujuh atau lapan ekar sahaja dan baki tanah mereka diberi secara berkelompok, isu ini juga perlu diselesaikan segera.
Segala isu yang masih berbangkit ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum Felda bercadang untuk membelanjakan wang RM1.68 juta milik seluruh peneroka Felda bagi tujuan mengindah serta mengubah lanskap tanah-tanah felda di seluruh negara.

“Bagi kita apa yang paling penting perlu dilakukan Felda bukan hanya merancang untuk mencantik dan mengindahkan lanskap Felda untuk jangkamasa 50 tahun akan datang, tetapi apa yang lebih penting lagi, Felda perlu memikirkan bagaimana nasib peneroka-peneroka Felda ini untuk tempuh 50 tahun akan datang," ujar Mazlan lagi. - mks.

No comments: