Sunday, July 1, 2007

RM100j kos bina MRSMF di Sungkai

Petikan Akhbar - 30 Jun 2007, Berita Harian.
KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) di Feldajaya Trolak Utara, Sungkai, Perak, mampu menempatkan kira-kira 1,500 pelajar dan bakal menjadi MRSM terbesar di negara ini.
.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Yusof Noor, berkata pihaknya sudah mengeluarkan tender pembinaan MRSMF di kawasan seluas kira-kira 20 hektar dengan kos perbelanjaan RM100 juta.
.
Katanya, keseluruhan projek pembinaan MRSMF itu akan siap dalam tempoh dua tahun dan penempatannya bukan saja untuk anak peneroka dan kakitangan Felda tetapi kepada pelajar lain.
.
“Kita akan cadangkan kepada Mara supaya kuota penempatan pelajar di MRSF diagihkan 70 peratus kepada anak peneroka dan kakitangan Felda, manakala bakinya dibuka kepada pelajar lain.
.
“Kita berhasrat memulakan pengambilan pelajar bermula sesi tahun depan walaupun bangunannya belum siap kerana pelajar berkenaan boleh ditempatkan di bangunan sebuah kolej berdekatan,” katanya.
.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan perwakilan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF), di sini petang semalam. Hadir sama Pengerusi KPF, Datuk Khamis Md Som.Yusof berkata, pembinaan MRSMF itu yang akan antara lain mempunyai kemudahan pembelajaran, sukan, kokurikulum, kemudahan teknologi maklumat (IT) dan rumah pengetua serta guru, adalah cetusan idea Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Felda mahu peneroka meningkatkan amalan budaya menabung sekali gus meminta KPF mengadakan kempen bagi menggalakkan peneroka menambah pelaburan koperasi yang dianggotainya.
.
Beliau berkata, majoriti daripada 158,337 ahli koperasi itu, masing-masing mempunyai jumlah caruman kira-kira RM4,100 untuk tempoh sepanjang 26 tahun.

No comments: