Wednesday, July 11, 2007

Wujud diskriminasi dalam pelaburan KPF

Sumber; Berita Harian, 9 Julai 2007.
.
.
KITA sedia maklum tanpa peneroka, tiadalah Felda. Felda dan peneroka ibarat isi dengan kuku – saling perlu memerlukan. Atas kepemimpinan negara sekarang, warga peneroka Felda kian terbela.
.
Isu yang ingin saya utarakan ini berkaitan pelaburan dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF). Sebelum ini pemimpin kita ada membuat pengumuman bahawa semua warga peneroka layak mendapat pelaburan KPF sebanyak RM10,000 seorang menerusi skim pinjaman. Apa yang saya tahu setiap peneroka akan menerima pinjaman pelaburan dalam bentuk KPF dengan syarat yang ditetapkan.
.
Apa yang menjadi kemusykilan saya, tidak semua peneroka Felda yang mendapat peruntukan ini. Apabila soalan ini diajukan kepada pengurusan Felda, kami mendapat jawapan program itu dilakukan secara berperingkat.
.
Di sini saya inginkan penjelasan sewajarnya mengenai pemilihan mereka yang layak. Ada yang menerima dividen atas pelaburan mereka, manakala yang lain tidak mendapat khabar berita mengenai status mereka.Ada segelintir yang mendapat skim ini adalah mereka yang sebelum ini menentang keras usaha mereka menanam semula mengikut Felda dan mengambil keputusan menanam sendiri.
.
Apabila usaha mereka tidak berjaya barulah mula kembali kepada Felda.Untuk pengetahuan semua, di tempat saya ini pada awalnya yang menanam semula mengikut Felda adalah sedikit dan tidak sampai suku dari warganya. Selebihnya mengambil keputusan menanam sendiri dan saya amat berbangga juga kerana mereka amat yakin untuk berdikari mengusahakan tanah mereka.Namun dengan intensif yang diberikan kerajaan dan tanaman yang tidak berjaya, mereka mula kembali kepada Felda, itupun selepas mengusahakan tanaman sendiri tiga tahun.Pihak pengurusan Felda sepatutnya mengutamakan mereka yang menanam semula mengikut Felda kerana bilangannya tidak ramai. Apa yang mendukacitakan, hak kami diketepikan.
.
Oleh itu, saya meminta penjelasan pihak atasan Felda berhubung isu ini. Adakah pemilihan ini dibuat oleh pengurusan Felda setempat atau oleh pihak pengurusan Felda wilayah? Sewajarnyalah pihak atasan Felda mengambil perhatian dalam isu ini.
.
Pemimpin kita melaungkan slogan membela rakyat, tetapi apa yang berlaku sebaliknya atas sikap segelintir mereka yang tidak prihatin.
.
PENEROKA VETERAN,Felda Palong Satu,Gemas, Negeri Sembilan.

No comments: